Broker saham pilihan saya yang patuh syariah
Assalamualaikum,
Dalam hantaran blog saya pada kali ini saya akan berkongsi pengalaman tentang broker-broker saham yang telah saya gunakan untuk membeli saham di Bursa Malaysia. Secara umumnya broker-broker konvensional adalah lebih kompetitif dari segi bayaran komisyen yang lebih rendah terutama untuk jumlah pembelian yang kecil dan adalah lebih mudah untuk membuka akaun dengan mereka berbanding broker-broker yang patuh syariah. Sekurang-kurangnya begitulah pengalaman saya semasa saya mahu membuka akaun sekitar tahun 2023. Ini berkemungkinan kerana jumlah pelanggan yang mahukan pihak broker yang patuh syariah masih kecil jumlahnya ataupun pihak industri masih lagi tidak peka dengan kehendak pengguna semasa.
1.Rakuten Trade
Saya bermula membeli saham dengan Rakuten Trade kerana pembukaan akaun boleh dilakukan secara online dan proses pendaftaran dapat dilakukan secara pantas. Seingat saya, saya tidak mempunyai akaun CDS pada waktu itu, jadi pembukaan akaun CDS turut dilakukan pihak broker. Yuran komisyen juga adalah rendah sekitar RM3 bagi pembelian bernilai RM1000 disamping cukai bermula RM1 bagi kontrak bernilai RM1000. Di samping itu pihak Bursa juga mengenakan "Clearing Fee" 0.03% bagi setiap kontrak. Oleh itu secara kasar pembelian saham akan melibatkan kos belian RM5 (RM3+RM1+ 0.03%*jumlah kontrak) dan kos jualan pada harga yang sama.
Bagaimanapun saya tidak berasa gembira menggunakan Rakuten kerana deposit tunai diberikan kadar faedah yang menjadikan ia tidak begitu patuh syariah. Selain itu maklumat setiap kaunter saham juga adalah terhad jadi saya perlu membuat kajian sendiri sekiranya saya mahu membeli saham di mana-mana kaunter.
2.AmEquities
Oleh itu saya telah membuka satu lagi akuan broker bersama AmEquities. Proses pendaftaran adalah dilakukan secara tradisional dan saya perlu menghantar borang menggunakan perkhidmatan kourier berbanding pendaftaran di Rakuten yang dibuat secara digital. Bagaimanapun sekali lagi saya diberikan akaun konvensional dan walaupun proses pembelian saham boleh dibuat menggunakan app tetapi proses deposit wang masih dilakukan secara manual yang agak menjengkelkan dan sekali lagi deposit wang saya dikenakan kadar faedah. Yuran komisyen juga adalah lebih tinggi berbanding Rakuten sekiranya pembelian dilakukan menggunakan app iaitu pada kadar 0.05% ataupun caj minimum RM8.
3. Affin-Hwang E-invest
E-Invest pula adalah akaun broker patuh syariah, tetapi tiada keuntungan diberikan ke atas jumlah wang tunai yang ada di akaun. Bayaran komisyen juga adalah berpatutan sebanyak RM5 bagi pembelian saham bernilai RM9999 dan ke bawah secara online. Akaun juga didaftarkan terus di atas nama pemilik dan bukannya akaun nominal. Bagaimanapun maklumat berkaitan kaunter saham masih hanya bersifat maklumat asas jadi saya kebiasaannya terpaksa "mengoogle" untuk mendapatkan maklumat-maklumat tambahan.
4. Moomoo
Bagi saya setakat ini Moomoo adalah akaun terbaik untuk berdagang atau melabur di Bursa Malaysia. Duit tunai yang berada di dalam akaun tidak diberikan faedah dan saya boleh memilih untuk meletakkan wang itu sementara di dana pasaran wang (money market fund) dengan pulangan keuntungan patuh syariah sementara membuat pertimbangan untuk membeli mana-mana saham. Maklumat saham setiap kaunter seperti akaun untung rugi juga diberikan secara terperinci. Juga terdapat unjuran para penganalisa yang boleh dijadikan panduan semasa saya membuat pertimbangan mana-mana saham yang hendak dibeli. Bayaran komisyen juga adalah berpatutan sebanyak 0.03% daripada jumlah transaksi dan RM3 yuran penggunaan platform. Berikut adalah pautan saya sekiranya anda ingin turut serta berdagang dan melabur menggunakan Moomoo.
Baiklah. Begitulah pengalaman saya menggunakan aplikasi broker-broker saham untuk berdagang dan melabur di Bursa Malaysia.
Comments
Post a Comment