Cara saya memilih saham untuk pelaburan di Bursa Malaysia
Assalamualaikum..
Di posting kali ini saya akan berkongsi pendekatan saya untuk memilih saham untuk dibeli di Bursa Malaysia. Untuk pengetahuan semua saya baru saja mula melabur di Bursa Malaysia dalam tempoh lebih kurang satu tahun lebih. Saya tidak mempunyai sebarang Ijazah di bidang Perakaunan, Kewangan ataupun Ekonomi. Jadi anda tidak boleh mengambil pengalaman saya sebagai panduan penuh tanpa mendapatkan nasihat dari pakar-pakar penasihat pelaburan bertauliah sekiranya turut mahu melabur di Bursa Malaysia.
Baiklah secara peribadi saya hanya akan membeli saham-saham daripada syarikat yang menyediakan perkhidmatan ataupun barangan kegemaran saya sahaja. Jarang-jarang sekali untuk saya membeli saham-saham daripada syarikat yang tidak saya ketahui perkhidmatan ataupun barangan mereka. Sebagai contoh saya gemar untuk membeli pakaian di kedai "Brand Outlet" jadi sudah tentu adalah sangat munasabah bagi saya untuk membeli saham syarikat "Padini" kerana kedai "Brand Outlet" adalah antara jenama syarikat tersebut.
Saya juga biasanya membeli saham-saham untuk dua kategori yang saya tetapkan sendiri. Kategori pertama adalah saham-saham yang saya ingin pegang untuk jangka masa panjang mungkin melebihi 5 tahun dan kategori kedua adalah saham-saham yang saya akan pegang dalam jangka masa pendek dan saham-saham dalam kategori kedua ini akan saya jual sebaik sahaja mencapai tahap keuntungan yang saya inginkan. Contoh-contoh saham yang ingin saya pegang untuk jangka masa panjang adalah saham MBSB, Takaful Malaysia, Bank Islam dan sebagainya dan contoh-contoh saham yang biasanya saya pegang untuk jangka masa pendek pula adalah seperti XOX,MSM, Parkson dan sebagainya.
1.0 Kenaikan harga pada jangka panjang
Bagaimanapun tanpa mengira tempoh pegangan saya biasanya membeli saham dengan bergantung kepada kriteria utama bahawa pola harga saham tersebut perlu menunjukan kenaikan ataupun potensi kenaikan dalam jangka masa panjang. Sebagai contoh inilah pola harga saham Padini untuk jangka masa panjang. Terdapat pola kenaikan harga yang ketara sebelum ini sebelum berlakunya trend menurun untuk masa terdekat kini.
Selain itu saya juga akan melihat akaun syarikat. Sebagai contoh saya akan merujuk kepada penyata "keuntungan operasi" (operating profit) untuk memastikan syarikat sentiasa membuat keuntungan setiap tahun. Saya juga akan merujuk kepada penyata kira-kira untuk memastikan syarikat mempunyai asset melebihi liabiliti(hutang2 dsbnya). Apa yang menarik dengan menggunakan Moomoo anda akan mendapat semua maklumat ini dengan mudah dalam satu app yang sama berbanding jika anda menggunakan platform lain. Selain itu saya juga akan merujuk kepada penilaian harga (valuation) syarikat dan maklumat analisa AI samada harga satu-satu saham tersebut adalah undervalued (harga saham kurang dari harga sepatutnya) ataupun overvalued (harga saham melebihi harga sepatutnya).
2.0 Pendidikan berterusan
Selain itu saya juga berasa terdapat penanda aras lain yang perlu di ambil kira dan saya tidak menolak kemungkinan untuk belajar tentang perkara-perkara ini di masa akan datang, tetapi buat masa ini saya berasa agak yakin dengan keputusan yang saya buat bardasarkan maklumat asas yang saya gunakan buat masa ini. Sebagai contoh setelah mengenalpasti kaunter-kaunter tempat saya ingin membuat pelaburan, persoalan seperti pada harga berapakah sepatutnya saya membuat bidaan dan pada harga berapakah saya perlu mengambil keuntungan adalah antara persoalan-persoalan yang masih sukar untuk saya jawab. Tetapi memandangkan pelaburan yang saya buat biasanya adalah untuk jangka masa panjang maka pada kebiasaanya harga saham yang saya beli biasanya akan meningkat naik. Kebiasaannya kenaikan bagaimanapun hanya akan berlaku selepas beberapa minggu atau selepas beberapa bulan melabur dan selalunya apabila adanya keuntungan maka saya akan menjual saham-saham tersebut.
Salah satu strategi mudah yang saya gunakan bagi kaunter baru apabila saya tidak berasa yakin dengan harga bidaan maka saya biasanya akan membeli sejumlah kecil sahaja saham tersebut dahulu sekitar 100 unit, sebelum kemudiannya membuat keputusan untuk melabur dengan lebih banyak lagi dalam kaunter-kaunter tersebut. Jadi sekiranya terdapat perubahan harga yang besar seperti kejatuhan harga selepas pembelian maka saya akan mempunyai masa untuk berfikir dengan lebih rasional untuk menambah pelaburan ataupun sebaliknya.
Baiklah jadi begitulah pengalaman saya memilih saham-saham untuk pelaburan di Bursa Malaysia selama lebih kurang dua tahun terkebelakang kini. Di harap perkongsian saya dapat memberikan sedikit gambaran kepada pihak tuan puan sekiranya turut mahu melabur di Bursa Malaysia terutamanya sekiranya pihak tuan puan adalah sama seperti saya yang gemar untuk mencuba sesuatu perkara melalui pengalaman sendiri.
Baiklah semoga berjumpa lagi di hantaran-hantaran saya di masa akan datang.


Comments
Post a Comment